Saya belum tengok senarai penuh Exco Kelantan - Mohd. Amar

Saya belum tengok senarai penuh Exco Kelantan – Mohd. Amar

MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengambil pendekatan kunci mulut berhubung barisan baharu kepimpinan kerajaan negeri yang mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bagi penggal ke-15 di Istana Negeri, Kubang Kerian hari ini.

Mohd. Amar berkata, beliau tidak dapat memberikan sebarang komen kerana belum melihat senarai penuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Saya belum melihat senarai penuh Exco yang mengangkat sumpah pegang jawatan pada hari ini. Jadi saya tidak boleh memberi sebarang ulasan buat masa ini.

“Lagipun saya ada ramai tetamu di rumah sekarang ini…dan minta maaf kerana tidak dapat meluangkan masa ketika ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Panchor di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada 12 Ogos lalu melaporkan Naib Presiden Pas itu menegaskan beliau tidak kisah jika namanya tidak lagi dipilih untuk jawatan Menteri Besar atau Timbalan Menteri Besar Kelantan sekiranya parti itu kekal diberi mandat mentadbir negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pada PRN Sabtu lalu, Pas yang menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang bergaya apabila meraih 43 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Mohd. Amar menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Syed Mohd. Alidustur Syed Mohd. Zan dengan majoriti 10,686 undi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN