RM62 juta diperuntuk bagi 70 projek atasi banjir - Utusan Malaysia

RM62 juta diperuntuk bagi 70 projek atasi banjir

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR (kiri) mengadakan lawatan ke kawasan Tampoi Indah di Parlimen Pulai yang sering dilanda banjir kilat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM62 juta kepada 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengatasi isu banjir di kawasan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, peruntukan tersebut digunakan bagi melaksanakan kira-kira 70 projek pada tahun ini.

Beliau berkata, projek tersebut bertujuan untuk mengurangkan risiko banjir di 109 kawasan tumpuan banjir di seluruh negeri ini dengan 19 titik panas di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang sedang dilaksanakan.

“Peruntukan bagi pelaksanaan kira-kira 70 projek itu bersifat pelan jangka pendek dan pelan jangka sederhana, ada projek yang boleh disiapkan pada tahun ini dan ada juga siap pada 2025, bergantung dengan bajet yang diberikan.

“Kerajaan negeri akan bersama semua agensi pusat berusaha agar kebajikan rakyat di negeri ini terjaga,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kawasan Tampoi Indah di Parlimen Pulai yang sering dilanda banjir kilat.

Bagi mengatasi perkara itu, Mohd. Jafni berkata, MBJB telah melaksanakan projek di kawasan tersebut, antaranya membina sistem tebatan banjir, membersihkan parit dan memasang tembok gabion dengan kos keseluruhan RM1.13 juta.

Pada masa yang sama, MBJB juga telah memasang perangkap sampah di beberapa lokasi di sepanjang sungai di kawasan Taman Johor.

“Perangkap sampah ini untuk mengasingkan sampah yang mengalir dalam saliran. Dalam masa yang sama sisa minyak juga dapat diasingkan menggunakan teknologi ini.

“Perangkap sampah yang dipasang ini juga secara tidak langsung, dapat mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan Tampoi Indah dengan memastikan aliran sungai berjalan dengan lancar tanpa sisa-sisa pepejal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya