ALOR GAJAH: Bidang pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) di Melaka akan diperkasa menerusi program sekolah angkat dengan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan berkata, sebanyak 77 buah sekolah telah dikenal pasti bagi memulakan program berkenaan.
Menurutnya, ia dapat memupuk minat mendalam dalam kalangan pelajar mengenai kepenting TVET.
“Program yang dirancang ini selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi.
“Justeru program sekolah angkat bersama IPT akan merangkumi perkongsian ilmu dan teknologi untuk memperkasakan bidang TVET dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya kepada pemberita dalam Program Ramah Mesra Media dan Makan Durian di sebuah dusun di Kampung Ayer Pasir, Selandar di sini, kelmarin. – UTUSAN