Produk kraftangan rotan bantu warga emas jana pendapatan

Produk kraftangan rotan bantu warga emas jana pendapatan

EMPIN Galing menunjukkan produk kraftangan rotan yang dijual sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) Negeri Sabah baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tidak sangka hutan yang dijaga sejak zaman persekolahan akhirnya mendatangkan manfaat apabila sudah mencapai usia tua.

Kini, rotan yang diperoleh daripada hutan yang berada di belakang rumah membolehkan Empin Galing, 63, menjana pendapatan sendiri dengan menghasilkan produk kraftangan berasaskan rotan.

Pengusaha kraftangan yang berasal dari Kota Belud itu berkata, sejak 10 tahun terlibat dalam menghasilkan kraftangan berasaskan rotan, beliau hanya menggunakan rotan yang ditanam di kawasan seluas 0.809 hektar.

Dalam penghasilan kraftangan berasaskan rotan, proses yang paling lama adalah meraut rotan yang dikeringkan. Jika proses meraut rotan siap, maka, proses menganyam tidak akan mengambil masa yang terlalu lama.

Beliau berkata, walaupun bidang anyaman rotan sinonim dengan golongan wanita namun, ia tidak menjadi penghalang untuknya untuk membina kerjaya dalam bidang kraftangan.

Pengalaman bekerja di Pusat Kraftangan Sabah memberi kelebihan kepadanya untuk menyediakan pelan perniagaan untuk memohon geran permulaan perniagaan.

“Saya memperoleh dana permulaan perniagaan daripada Yayasan Sabah pada 2017 dan saya antara lima orang terpilih bagi memperoleh dana untuk ‘skill up’ program,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kraftangan yang dihasilkan termasuk bakul, tampi beras, bubu ikan, bola takraw dan juga cenderahati seperti rantai kunci.

Katanya, pameran kraftangan yang diadakan di Semenanjung membantunya untuk memperkenalkan produk kraftangan dihasilkan kepada pelanggan.

Kini, produk Nopunggok kraf cukup dikenali dalam kalangan pelanggan.

Empin berkata, jika ada pameran kraftangan seperti Hari Kraftangan Kebangsaan, beliau mampu memperoleh pendapatan hampir RM20,000.

Mengulas lanjut katanya, pasaran kraftangan lebih kepada untuk pelanggan dari luar negara dan juga orang Semenanjung. Kalau pelanggan tempatan di Sabah agak kurang kerana terlalu banyak persaingan kerana ramai yang boleh menganyam kraftangan berasaskan rotan.

“Dari segi cabaran, pengusaha kraftangan turut terkesan dengan kenaikan harga barang maka, kebanyakan pengusaha mula menaikkan sedikit harga produk kraftangan yang dihasilkan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya