GUA MUSANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan tiga buah helikopter dan 30 buah kenderaan pacuan empat untuk menghantar petugas dan 10 peti undi ke enam pos pedalaman Orang Asli di daerah ini bagi proses Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sumber SPR berkata, proses yang bermula hari ini itu melibatkan membabitkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Galas dan Nenggiri.
“Seramai 84 petugas itu terdiri daripada anggota Polis Pengiring dan Polis Komunikasi (WTO), Ketua Tempat Mengundi (KTM), Kerani Pengundian (KP), Penyelia Pusat Mengundi dan pemandu arah pusat mengundi,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Operasi Penerbangan, Martin Mailis berkata, sebanyak sembilan penerbangan dilakukan untuk menghantar peti undi ke kawasan pos orang asli.
Katanya, penghantaran membabitkan dua peti undi di setiap pos iaitu, Pos Bihai, Pos Hau, Pos Simpor, Pos Balar dan masing-masing satu di Pos Gob dan Pos Belatim.-UTUSAN