KOTA BHARU: Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) melihat kekalahan teruk 43-2 yang dirakamkan oleh gabungan itu tidak mencerminkan rakyat negeri ini menolak secara ‘total’ kerjasama antrara kedua-dua parti itu.
Pengerusi Parti Kerajaan Perpaduan Madani Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebaliknya berkata, kekalahan itu ekoran gabungan tersebut masih belum serasi dalam menjalinkan kerjasama.
Menurutnya, undi popular bagi setiap DUN yang ditandingi BN-PH meningkat walaupun tujuh kerusi yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu berjaya dirampas oleh Pas pada PRN kali ini.
“Secara hakikatnya, rakyat Kelantan tidak menolak BN-PH, cuma gabungan ini masih belum serasi dengan mereka. Peringkat jentera BN-PH sudah boleh bekerja bersama apabila mereka boleh menerima gabungan ini.
“BN-PH baru bergabung tidak sampai sembilan bulan, jadi beri rakyat Kelantan masa untuk menerima gabungan ini. Kami mempunyai masa yang panjang untuk memperbaiki kelemahan untuk pilihan raya yang akan datang,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Kelantan di sini sebentar tadi.
Ahmad Jazlan memberitahu, gabungan BH-PH sudah memberikan tawaran manifesto yang menarik buat rakyat negeri ini namun mereka masih memilih Pas.
Katanya, keputusan 43 kerusi yang dimenangi PN pada PRN kali ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Kelantan masih boleh menerima dasar-dasar yang dijalankan oleh Pas selama lebih 30 tahun.
“Rakyat Kelantan jangan lupa, Pas juga membuat tawaran atau manifesto pada PRN di Kelantan. Mereka perlu menunaikan manifesto itu sedangkan masih banyak lagi janji-janji pilihan raya yang belum mereka kotakan.
“Berdasarkan maklumat, undi yang diperoleh BN-PH pada PRN kali ini merupakan gabungan undian yang diterima semasa Pilihan Raya Ke-15 yang lalu.
“Bagaimanapun, usaha mereka (PN) untuk mengosongkan semua kerusi DUN BN-PH di Kelantan gagal apabila BN dapat mempertahankan kerusi DUN Galas manakala PH merampas kerusi DUN Kota Lama,” ujarnya.-UTUSAN