KOTA BHARU: Biarpun sibuk menyantuni tetamu, pasangan ‘raja sehari’ tidak culas melaksanakan tanggungjawab apabila keluar mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit pada Pilihan Raya negeri (PRN) hari ini.
Pasangan pengantin, Nur Ain Huda Ibrahim, 25 dan Mohammad Hidayat Yuliza,25, tampil menawan dengan busana songket berwarna biru muda mencuri tumpuan ramai sejurus tiba di pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Stan di sini pada pukul 3.45 petang.
Nur Ain Huda yang tinggal di Taman Paduka, Kubang Kerian, berkata dia memutuskan untuk datang melaksanakan tanggungjawab selepas selesai bersanding dan meraikan tetamu yang hadir ke majlisnya hari ini.
Menurutnya, persiapan untuk majlis persandingan itu dilakukan lebih awal supay bagi membolehkan mereka sempat melaksanakan tanggungjawab keluar mengundi sebelum pukul 6 petang.
“Kami telah selesai ijab kabul malam tadi dan pada awalnya saya dalam dilema untuk keluar mengundi atau tidak.
“Bagaimanapun, kami mengambil keputusan hadir juga pada hari pengundian kerana tidak mahu terlepas peluang bersejarah menunai tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,”katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuang undi di SK Wakaf Stan di sini hari ini.
Nur Ain Huda yang bekerja sebagai seorang promoter di sebuah syarikat telekomunikasi memberitahu, dia terpaksa meneruskan majlis persandingannya hari ini meskipun jatuh pada hari pengundian kerana segala persiapan sudah dilakukan sejak April lalu.
Sementara itu, pasangannya, Mohammad Hidayat yang juga kakitangan sebuah syarikat pembersihan berkata, sebaik sahaja isterinya selesai mengundi, dia akan bergegas pulang ke Kuala Krai bagi menunaikan tanggungjawab yang sama.
“Saya juga tidak ingin melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dan selepas ini saya akan segera pulang ke Kuala Krai.
“Diharap saya tiba di pusat pengundian di Kampung Tengah, Kuala Krai sebelum pukul 6 petang,”ujarnya.
Kedua-dua pasangan berkenaan mengundi kali kedua selepas mengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit dan Guchil.
Pada PRN kali ini, DUN Demit ditandingi oleh Muhamad Asri Mat Daud dari Pas dan Ismail Ghani dari Pakatan Harapan (PH) dengan jumlah pengundi seramai 40,561 pengundi.
Manakala DUN Guchil yang ditandingi oleh Zuber Hassan dari Barisan Nasional (BN) dan Hilmi Abdullah dari Pas dengan jumlah pengundi seramai 27,785 pengundi.-UTUSAN