PRN: Polis Negeri Sembilan terima 83 laporan termasuk rosakkan poster - Utusan Malaysia

PRN: Polis Negeri Sembilan terima 83 laporan termasuk rosakkan poster

AHMAD Dzaffir Mohd. Yussof menyampaikan sijil penghargaan kepada Naib Pengerusi MCPF Malaysia merangkap Pengerusi MCPF Daerah Port Dickson, Datuk Seri Lim Chin Fui sempena Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ahli Jawatankuasa MCPF Negeri Sembilan di IPK Negeri Sembilan, di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan menerima sebanyak 83 laporan termasuk satu kes merosakkan poster di daerah Jempol yang kini dalam siasatan sejak bermulanya kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Sabtu lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, lain-lain kes pula adalah berkaitan ceramah atau aktiviti kempen tanpa mendapat permit dari polis.

Menurutnya lagi, sepanjang tempoh kempen dijalankan, pihaknya tidak mengesan mana-mana individu atau calon memainkan isu 3R (bangsa, agama dan raja) semasa ceramah dijalankan.

“Kami ingatkan semua pihak yang berkempen untuk tidak memainkan isu 3R, sekiranya tiada pihak tampil membuat laporan berkaitan isu 3R yang dimainkan, kami sendiri yang akan membuat laporan kerana kami memantau setiap perjalanan kempen sepanjang tempoh yang ditetapkan.

“Semua ceramah dipantau serta berjalan dengan baik. Tiada isu kacau ganggu dan pemantauan yang dilakukan ini termasuklah daripada segi media sosial selain pemantauan secara fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF) Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Dzaffir berkata, punca kemalangan jalan raya membabitkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir awal pagi semalam masih lagi dalam siasatan.

Katanya, pembantu Mohd. Zaidy iaitu Muhammad Khairul Ahnaf Baharom, 36, yang mengalami kecederaan parah dalam kemalangan itu masih dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

“Setakat malam tadi masih di rawat di Hospital Kuala Pilah dan masih di zon merah lagi,” katanya.

Terdahulu, beliau dalam ucapannya menyifatkan MCPF sebagai ‘PIBG’ (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) kepada PDRM dan sudah tentu banyak perkara serta isu perlu dirancang serta diberi perhatian.

“Insya-Allah dengan kerjasama semua pihak, kami akan gerakkan usaha pembanterasan jenayah ini bersama-sama. 

“Setiap individu perlu dididik dan dilengkapkan dengan ilmu-ilmu pencegahan jenayah agar ahli keluarga dan harta benda masing-masing tidak diambil kesempatan oleh anasir yang tidak diingini,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya