KOTA BHARU: Polis Kelantan menerima empat laporan berkait salah laku Pilihan Raya Negeri (PRN) yang direkodkan sebaik sahaja proses penamaan calon selesai bermula 29 Julai lalu sehingga semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laporan itu membabitkan kesalahan mengkhianat poster dan billboard serta fitnah menerusi laman sosial Facebook.
Menurutnya, bagaimanapun dua daripada empat laporan itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membabitkan perbuatan mengkhianati poster.
“Dua laporan itu melibatkan perbuatan khianat poster berlaku di Kota Bharu (Malaysia Madani) dan calon Barisan Nasional (BN) di Pengkalan Chepa.
“Laporan berkaitan fitnah dan mengaibkan calon menerusi laman sosial Facebook kita terima dua setakat ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, proses pilihan raya seperti berkempen serta ceramah politik sepanjang tempoh ini berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah.
Katanya, pada masa semua pihak diseru untuk memainkan peranan masing-masing supaya perjalanan proses PRN kali ini lancar dan selamat sehingga hari mengundi, 12 Ogos nanti.
Dalam perkembangan lain, mengulas berkait itu letupan bom di Golok, Thailand pagi tadi, Muhamad Zaki turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati sekiranya ingin ke negara jiran.
Katanya, mereka yang ingin ke Thailand perlu membawa dokumen-dokumen yang tertentu bagi memudahkan urusan sekiranya berlaku apa -apa kejadian yang tidak diingini.
“Secara luarannya (Thailand) tiada masalah, namun dalam keadaan sekarang ini sekiranya tidak ada perkara yang mustahak untuk ke sana,sila berhati-hati.
“Setakat ini kita tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut sama ada ia berlaku disebabkan unsur khianat atau sabotaj,” ujarnya.-UTUSAN