TUMPAT: Polis Kelantan menerima dua laporan melibatkan kes provokasi yang berlaku semasa tempoh akhir berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada malam tadi.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laporan itu melibatkan seorang penunggang motosikal yang juga penyokong sebuah parti membuat bising di hadapan sebuah balai polis kira-kira pukul 12.30 malam semalam.
Menurutnya, anggota polis sudah bertindak menghalang lelaki tersebut.
“Dalam kes itu, kita menyiasat penunggang motosikal terbabit dan anggota polis yang terlibat dalam kes itu disiasat mengikut Pematuhan Integriti dan Standard.
“Bagi kes kedua ia melibatkan sebuah kereta dipandu seorang individu diubah suai kepada kereta kebal yang ditahan kira-kira pukul 10 malam tadi,” katanya sidang akhbar selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Falahiah, Pasir Pekan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, tinjauan udara mendapati, proses pilihan raya dan trafik berjalan lancar tanpa sebarang kesesakan.
“Saya berharap tiada lagi sebarang provokasi berlaku menjelang proses pengiraan undi pada malam ini,” katanya.-UTUSAN