KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kes berkiat penggunaan wang sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) setakat ini.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, selain itu perbuatan khianat dan mengaibkan calon termasuk lapan kes yang sedang disiasat oleh pihaknya ketika ini.
“Ketika ini kita (polis) sedang dalam proses merakam percakapan individu terbabit untuk dihantar kepada pihak pendakwaan.
“Daripada jumlah tersebut, Kota Bharu menjadi penyumbang kes tertinggi selain Pasir Puteh dan Pasir Mas,” katanya kepada media selepas membuang undi pada hari pengundian awal di Pusat Taska, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, setakat ini perjalanan kempen yang memasuki minggu terakhir berlangsung dengan begitu baik sekali dalam suasana poltik matang dalam kalangan pemimpin politik di negeri ini.
Katanya, kebanyakan kempen dilakukan oleh jentera parti dari rumah ke rumah.
“Setakat ini tiada ceramah yang berlangsung dalam jumlahnya besar dan pada sama kita telah memberikan peringatan kepada calon serta wakil supaya mengikuti peraturan.
“Kita lihat calon telah menunjukkan kehebatan masing-masing semasa berkempen. Setakat ini tidak ada berlaku sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.-UTUSAN