KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) Kelantan tekad mendapatkan sekurang-kurang 100 undi daripada masyarakat Orang Asli di Sungai Rual, Jeli pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas.
Naib Pengerusi PN negeri Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, jumlah tersebut dilihat sudah mampu untuk membantu kemenangan pihaknya pada PRN itu nanti.
“Jumlah pengundi Orang Asli di Sungai Rual ialah 480 dan mereka masih kekal menyokong Barisan Nasional (BN) termasuk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
“Pada PRU-15 lalu, PN meraih 24 undi manakala pada PRU sebelumnya hanya dua undi diperoleh di Sungai Rual. Perkara itu satu perkembangan yang baik dan pada PRN kali ini kita sasarkan undi Sungai Rual ni tidak kurang daripada 100,” katanya pada sidang akhbar harian PN sempena PRN di Pejabat Perhubungan Pas Kelantan, di sini, hari ini.
Beliau yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas memberitahu, pelbagai usaha sedang dilakukan bagi memastikan perjalanan kempen di kawasan berkenaan berjalan dengan baik.
Katanya, menjadi cabaran besar buat PN untuk merubah kerangka pemikiran komuniti berkenaan yang sudah dipegang teguh sejak sekian lama.
“Pelbagai strategi sudah dan sedang dilakukan di kawasan perkampungan masyarakat Orang Asli termasuk ‘menarik’ golongan muda untuk bersama-sama dengan PN,” ujarnya.
Kamarudin memberitahu, beliau sedia memberi nilai tambah seperti infrastruktur, telekomunikasi dan pertanian jika diberi mandat pada PRN nanti.
Pada PRU-14 lalu, kerusi DUN itu dimenangi oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed Mustapa Mohamed atas tiket BN sebelum bekas Ahli Parlimen Jeli tersebut beralih ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).-UTUSAN