PKR perlu menang di Ampangan, tewaskan pengkhianat - Utusan Malaysia

PKR perlu menang di Ampangan, tewaskan pengkhianat

ANWAR Ibrahim memperkenalkan calon PH di DUN Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (empat dari kanan) pada program Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Tapak Letak Kereta, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban malam tadi-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penting untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Pengerusi PH itu menjelaskan, ia selepas PH turut berdepan saingan seorang ahli PKR di kerusi tersebut yang disifatkan beliau sebagai pengkhianatan dalam perjuangan parti itu.

“Ampangan penting kerana ada dalam pengkhianatan dari dalam Keadilan, di mana-mana saya ada, satu hal yang tidak boleh diizinkan pengkhianatan dalam perjuangan,” tegasnya.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Tapak Letak Kereta, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Kenyataan tegas Anwar itu dilihat merujuk kepada penyandang kerusi Ampangan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Negeri (Jemputan) Keadilan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek.

Mohamad Rafie yang merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri membuat keputusan bertanding atas tiket Bebas pada PRN Ke-15 ini di Ampangan selepas beliau tidak dicalonkan semula di kerusi berkenaan.

Sebaliknya, PKR mempertaruhkan Ketua Wanita PKR Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman bagi bertanding di kerusi tersebut.

DUN Ampangan akan turut ditandingi calon dari Perikatan Nasional (PN) iaitu, Muhammad Ghazali Zainal Abidin.

Anwar sementara itu juga berkata, beliau bersama Ahmad Zahid akan turun berkempen ke DUN Hulu Kelang di Selangor pada malam hari Khamis ini.

“Sebab itu saya dengan Datuk Seri (Ahmad) Zahid ke Hulu Kelang sekali lagi pada hari Khamis malam untuk mengajar si pengkhianat, Si Kitul dan Raja Mendeliar, dalam sejarah budaya Melayu, tidak ampunkan pengkhianat,” tegasnya lagi.

Bekas Timbalan Presiden PKR yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada PRN kali ini bertanding di kerusi DUN Hulu Kelang mewakili PN.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya