TUMPAT: Lebih 5,000 penduduk di gugusan kepulauan Tumpat di sini yang berada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran menuntut calon wakil yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini menyediakan kemudahan bot jenazah dan jeti konkrit untuk urusan harian mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penduduk berharap nikmat pembangunan yang diturunkan kepada kawasan lain turut dapat dikecapi oleh mereka.
Seorang penduduk, Azimah Ismail, 58, berkata, walaupun rata-rata mereka mempunyai bot namun kemudahan untuk pengurusan jenazah tidak ada di kawasan berkenaan.
“Kalau penduduk di kawasan daratan mereka ada kemudahan van jenazah, namun kami tiada.
“Untuk pengebumian jenazah, kami perlu meminjam penumpang untuk membantu memudahkan urusan berkenaan,” katanya ditemui di Pulau Tongkang di sini hari ini.
Azimah memberitahu, kemudahan itu bakal memberikan impak yang cukup besar kepada penduduk sekiranya impian itu berjaya direalisasikan.
Katanya, setiap kali berlaku kematian penduduk terpaksa merentasi sungai Kelantan untuk ke tanah besar di Kampung Kelaboran di sini dan Kampung Che Latif, Kota Bharu.
Bagi Mohd. Nizam Yusoff, 25, dari Kampung Pantai Timun berkata, pembinaan jeti kontrik amat diperlukan dalam memudahkan urusan harian mereka.
Katanya, kebanyakan jeti kayu di kawasan ini sudah uzur dan hanya dibaiki oleh penduduk secara bergotong-royong.
Sementara itu calon Barisan Nasional (BN) DUN Kelaboran, Rosdi Razali berkata, sebagai anak jati di Pulau Beluru dia amat memahami denyut nadi rakyat kawasan berkenaan.
Katanya, jika diberi mandat dia akan menjadikan perkara tersebut sebagai agenda utama sebelum memberikan tumpuan kepada perkara-perkara lain.-UTUSAN