PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin Pas digesa mengeluarkan kenyataan yang jelas bahawa seseorang muslim tidak jatuh kafir sekiranya mengundi calon selain parti tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kepimpinan Pas perlu mengeluarkan kenyataan bagi menjernihkan ahli-ahli di bawah bahawa tidak jatuh kafir atau rosak aqidah seseorang apabila mengundi mana-mana parti dalam pilihan raya kali ini.
“Ini penting bagi mengelakkan pertelingkahan dan perbalahan yang membawa kepada kafir-mengkafir sehingga meleraikan ikatan ukhuwwah Islamiah.
“Sesungguhnya berbeza parti hanyalah dari segi ijtihad dan pendekatan politik bukannya perbezaan aqidah serta pegangan agama seseorang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan seorang warga emas menyatakan bahawa sekiranya beliau mengundi UMNO dirinya akan ‘kafir sampai kiamat’.
Klip video tersebut menerima pelbagai reaksi daripada ramai pihak terutama penyokong-penyokong UMNO.
Asyraf Wajdi berkata, video tersebut menunjukkan masih ada ahli yang terlalu fanatik di peringkat akar umbi akibat terpengaruh dengan kepimpinan yang dahulunya menanam satu ideologi dan doktrin mengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan jatuh akidah, kafir serta masuk neraka.
“Kita harus bedakan antara Islam dan parti. Islam adalah agama, Pas adalah parti politik. Dua perkara yang berbeza. Tidak menyertai Pas, tidak mengundi Pas tidak sesekali menjatuhkan kekufuran kita.
“Tidak mengundi UMNO pun tidak menjatuhkan kekufuran kita kerana Islam adalah lebih tinggi daripada parti politik. Walaupun politik merupakan sebahagian daripada agama,” katanya. – UTUSAN