KOTA BHARU: Seorang orang kelainan upaya (OKU) yang terpaksa menggunakan bantuan tongkat untuk berjalan merupakan antara pengundi paling awal tiba untuk membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Panchor di sini hari ini.
Zikrillah Zairul Akma, 20, yang cacat fizikal iaitu lutut lemah dan tidak boleh berjalan dalam jarak jauh tiba kira-kira pukul 7.40 pagi tadi iaitu 20 minit awal daripada pembukaan pusat mengundi.
Anak sulung daripada dua beradik yang dibantu ibunya, Anne Suhaida Abd Rashid, 50, itu memberitahu, ini merupakan kali kedua dia mengundi selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) pada November tahun lepas.
“Saya memerlukan bantuan untuk berjalan sejak berusia empat tahun. Meskipun sukar bergerak, ia tidak menghalang saya daripada menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, seorang anggota bomba, Izzhan Zulkifli, 31 dari Kampung Panchor menjadi pengundi pertama tiba di pekarangan SK Panchor apabila dia tiba seawal pukul 7.15 pagi.
Seorang lagi penduduk, Ahmad Faizal Mohamad, 39, pula menjadi individu kedua yang beratur dan mendaftar di pusat mengundi itu kira-kira 15 minit kemudian.
Izzhan memberitahu, dia beratur awal untuk mengundi kerana perlu berkejar untuk ke tempat kerja di Kuala Terengganu.
“Saya datang seorang diri apabila isteri, Nurhidayah Sukran, 31 yang berasal dari Johor dan tidak terlibat dengan PRN,” ujarnya.-UTUSAN