PRN: Mohd. Amar tidak kisah jika bukan MB atau TMB Kelantan

PRN: Mohd. Amar tidak kisah jika bukan MB atau TMB Kelantan

MOHD. Amar Nik Abdullah (kiri) bersama isteri menunjukkan jari yang sudah dicelup dengan dakwat tanda selesai menjalankan tanggungjawab mengundi di SK Panji di Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Naib Presiden Pas Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan beliau tidak kisah jika namanya tidak lagi dipilih untuk jawatan Menteri Besar atau Timbalan Menteri Besar Kelantan sekiranya parti itu kekal diberi mandat mentadbir negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, keputusan untuk kedua-dua jawatan itu akan ditentukan oleh parti terutama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan pada masa sama perlu mendapat perkenan dari pihak Istana Kelantan.

“Itu proses biasa yang perlu dilalui. Saya sendiri tiada masalah kalau tidak dinamakan sebagai Menteri Besar (MB) atau Timbalan Menteri Besar (TMB). Sebelum ini juga, saya tiada apa-apa jawatan dan tidak pernah minta jawatan apa pun. Tetapi kalau parti mahukan kita perlu akur dan terima tanggungjawab.

“Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat pada Khamis lalu dan sekarang belum ada sebarang makluman. Kita tunggulah perkembangannya selepas ini. Saya sendiri tidak tahu siapa MB dan TMB selepas ini kerana ia diputuskan oleh presiden,” katanya ketika ditemui di pekarangan Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Panji, di sini sebentar tadi.

Mohd. Amar yang juga Timbalan Pesuruhaya Pas negeri memberitahu, pemilihan calon MB dan TMB merupakan proses normal dalam Pas dan kebiasaannya nama dua jawatan tersebut dicadangkan oleh MB sedia ada.

“Sebenarnya, Datuk Ahmad Yakob (MB Kelantan) tidak berhasrat untuk mengekalkan jawatannya. Beliau minta untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lagi, tetapi presiden merasakan beliau perlu ada untuk memimpin negeri.

“Cuma kali ini beliau (Ahmad) mohon sekali lagi dengan bersungguh-sungguh. Jadi, presiden pertimbangkan termasuk atas masalah kesihatan dan faktor usianya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan spekulasi yang mengatakan beliau dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takyuddin Hassan bertengkar seperti yang tular di media sosial disifatkan sebagai mengarut.

“Macam mana mereka boleh reka perkara itu dan tangkap layar itu siapa punya? Apabila dia ambil gambar dengan saya, takkanlah Datuk Takiyuddin pun ada.

“Jadi, ia betul-betul rekaan untuk merosakkan hubungan kami dan menimbulkan satu imej yang negatif dalam kalangan pimpinan Pas. Kita tidak pernah bergaduh. Apa-apa isu kita bawa dan bincang dalam mesyuarat,” tegasnya.

Ujarnya, situasi tegang dalam mesyuarat adalah perkara biasa kerana masing-masing mempunyai pandangan tersendiri terutamanya dalam membuat sesuatu keputusan.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya