SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan mengetengahkan lapan tawaran kepada penduduk negeri ini menerusi manifesto yang dilancarkan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15.
Tawaran tersebut meliputi antaranya menangani kos sara hidup, masa depan belia, memperkasakan wanita, pendidikan, kesejahteraan sosial, ekopelancongan, pengukuhan infrastruktur dan meningkatkan kecekapan tadbir urus.
Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, manifesto berkenaan akan direalisasikan sekiranya PN diberikan mandat mentadbir Negeri Sembilan selepas hari pengundian pada 12 Ogos ini.
“Kami akan merealisasikan segala aku janji kami ini buat manfaat anda sekalian. Lapan tonggak utama yang pertama adalah untuk memacu daya tahan ekonomi dan menangani kos sara hidup.
“Untuk itu kami akan memperluaskan bantuan bakul prihatin kepada golongan yang memerlukan di samping akan memartabatkan kepemimpinan masyarakat dengan menaikkan kadar elaun berperingkat bagi imam, siak, bilal dan guru tadbir.
“Kami juga akan memperkenalkan kad Nismilan Prihatin bagi pembelian barangan asas di kedai terpilih. Kami akan mewujudkan rangkaian Gerai Nismilan Prihatin di setiap daerah bagi menyediaan bekalan makanan asas pada harga yang berpatutan,” katanya sewaktu melancarkan Manifesto PN Negeri Sembilan secara langsung menerusi media sosial Facebook PN Negeri Sembilan hari ini.
Ahmad Faizal berkata, PN juga akan meningkatkan peruntukan usahawan Negeri Sembilan dengan memperkenalkan Skim “TaNismilan” dengan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi memcau sektor pertanian bernilai tinggi.
“PN juga menawarkan dana Nismilan Mudo sebanyak RM2 juta setahun serta pembangunan e-Sport di setiap daerah dengan peruntukan RM1 juta setahun.
“PN turut memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk penyelenggaraan dan penaiktarafan fasiliti sekolah agama di negeri ini, selain menyediakan subsidi tambang bas sekolah sebanyak 20 peratus,” katanya lagi.
Menyedari kepentingan peranan wanita, PN Negeri Sembilan akan turut mewujudkan Geran Inkubator Usahawan Wanita Prihatin disamping memperkenalkan inisiatif Ibu Prihatin Nismilan dengan pemberian subsisi kos bersalin sebanyak 10 peratus.
“Kami akan memperkenalkan Inisiatif Wanita Waja untuk wanita yang kematian suami atau berpisah dengan suami dan memerlukan bantuan serta sokongan termasuk khidmat kaunseling dan motivasi,” kata beliau yang turut memberitahu PN akan menambah baik fasiliti dan kemudahan asas di destinasi tarikan pelancong seperti Pantai Telok Kemang dan Pantai Tanjung Biru di Port Dickson.-UTUSAN.