TUMPAT: Seorang lelaki yang mengalami masalah cacat penglihatan tidak pernah melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut di sini hari ini.
Mohd. Nor Mohd. Din,42, hadir di sekolah berkenaan dengan ditemani isterinya, Nor Suriani Yaacob, 38.
Mohd. Nor berkata, dia teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan tidak pernah terlepas untuk mengundi sejak berusia 21 tahun lagi.
“Setiap kali pilihan raya, saya tetap akan keluar mengundi kerana ini adalah tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia ,” katanya ditemui di sini.
Dalam perkembangan lain, sepasang suami isteri warga emas Wan Salleh Wan Jaaffar, 79, dan Wan Zainab Wan Mohamad,74 tidak pernah melepaskan peluang untuk mengundi.
Wan Salleh berkata, walaupun sudah lebih 10 kali mengundi dia tetap teruja untuk menunaikan tanggungjawab tersebut.
Katanya, dia dan isteri sentiasa teruja untuk keluar mengundi walaupun sudah uzur.
“Isteri saya terpaksa berkerusi roda kerana masalah sakit lutut. Walaupun sakit lutut, dia tetap beria-ia nak keluar mengundi,” katanya.-UTUSAN