KOTA BHARU: Pas Kelantan mendakwa Kerajaan Perpaduan terus menjadikan isu air sebagai senjata untuk untuk menyerang negeri ini menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti.
Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, masalah bekalan air bukanlah isu besar dan ianya sengaja disensasikan oleh pihak yang hanya melihat dari sudut negatif.
Menurutnya, sudah menjadi sifat manusia yang suka mengkritik walaupun pelbagai usaha sudah digerakan oleh kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah itu.
“Mereka yang mengkritik ini sengaja mencari perkara yang negatif sahaja, yang positif (mereka) tidak ambil, jadi masalah air adalah serangan politik bukan isu sebenar.
“Sudah menjadi sifat dan perangai manusia suka mengkritik, buat apa pun orang akan kritik.Jadi pendekatan kita adalah jelas untuk melakukan yang terbaik kepada masyarakat,”katanya pada sidang akhbar Perikatan Nasional (PN) di Pejabat Badan Perhubungan Pas Kelantan di sini hari ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan memberitahu, kerajaan negeri sentiasa mengakui dan tidak pernah menafikan masalah air yang berlaku di negeri ini.
Bagaimanapun katanya, gambaran yang diberikan berkait masalah itu melampau.
“Isu kecil menjadi besar kerana politik. Kita akui dan tidak pernah menafikan kita ada masalah air, cuma gambaran yang diberikan agak melampau seolah-olah satu negeri tiada bekalan air.
“Kita juga akui ada sumbangan dari Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah air namun ia tidak mencukupi sebagai contoh, kita memerlukan RM100 tetapi mereka hanya memberi RM20 sahaja sedangkan negeri-negeri lain mendapat jumlah peruntukan yang lebih besar untuk pelbagai projek,” ujarnya.-UTUSAN