BACHOK: Pas mendakwa kemenangan Perikatan Nasional (PN) di semua enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini menjadi titik permulaan untuk membersihkan negara dari pengaruh liberalisme yang bertentangan dengan adab dan tuntutan Islam.
Timbalan Mursyidul Am Pas Datuk Ahmad Yakob berkata, Malaysia memerlukan kepimpinan bersih yang mampu mencorak negara dan membawa rakyat ke arah yang lebih baik bersandar syariat Islam supaya seimbang mengikut keperluan duniawi dan ukhrawi.
“Saya merayu kepada ahli UMNO untuk terbuka hati menyertai PN bagi titik permulaan bersama-sama membina negara yang sering dihimpit fahaman sekular, liberalisme dan pembudayaan pengaruh komuniti Gay, Lesbian, Biseksual dan Transgender (LGBT),” katanya ketika menyampaikan ceramah perdana Ppakat Pertahan di Dataran Bahtera Tok Bali, di sini malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Ahmad memberitahu, pelbagai taktik dan kempen yang digunakan oleh gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) dilihat tidak mampu mempengaruhi anak-anak Kelantan diperantauan.
Katanya, ucapan retorik untuk mengubah sikap pengundi sudah difahami dan rakyat dilihat istiqomah untuk mengekalkan Kelantan di bawah kepimpinan Pas.
“Pelbagai isu yang dibangkitkan termasuk menyentuh kepimpinan kerajaan dan kewibaaan calon tidak membantu mereka mengurangkan sokongan penggundi.
“Pecutan terakhir sebelum tibanya hari mengundi diteruskan dengan memberi kefahaman bagi menangkis dakwaan yang tidak benar terhadap Kerajaan Pimpinan Pas sebelum ini,” ujarnya.-UTUSAN