KOTA BHARU: Pas Kelantan menegaskan parti itu tidak memerlukan calon Menteri Besar ‘bayangan’ kerana semua individu yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) layak untuk diangkat sebagai ketua jika terus diberi mandat oleh rakyat selepas 12 Ogos ini.
Persuruhjayanya, Datuk Ahmad Yakob berkata, peluang tersebut turut terbuka kepada calon yang menjadi Exco semasa pentadbiran sebelum ini.
“Tidak perlu bayangan, semua (calon yang bertanding pada PRN) dah layak menjadi Menteri Besar.
“Exco layak..Menteri Besar layak..tidak ada (calon) yang tidak layak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran E-Wallet Kelantan Pay di sini hari ini.
Ahmad memberitahu, segala keputusan berhubung pelantikan Menteri Besar hanya akan ditentukan dan disusun sebaik mungkin selepas parti itu berjaya membentuk kerajaan.
“Selepas PRN kita akan susun terbaik, sekarang ini Pas terbuka kepada rakyat dahulu untuk memilih mana-mana calon.
“Bila dah dapat keputusan dalam beberapa hari kita akan umum,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Ahmad yang juga calon Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan, mendedahkan PRN ini menjadi penggal terakhir buatnya bergelar wakil rakyat.
Katanya, selepas ini beliau akan menyerahkan kerusi tersebut untuk diterajui muka baharu.-UTUSAN