SEREMBAN: Pengundi yang bakal menjalankan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) diminta untuk tidak terikut-ikut dan terpengaruh dengan mainan sentimen dan tohmahan yang tersebar di dalam media sosial.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pengundi mesti berupaya meneliti pihak manakah yang bercakap berdasarkan fakta dan sebaliknya terutama pada waktu pilihan raya ketika ini.
“Saya minta mereka berikan undi dengan teliti supaya tidak terikut-ikut dengan tohmahan, sentimen-sentimen yang berlambak dalam media sosial. Ini cara baharu orang berkempen melalui media sosial dan media sosial ini tiada tapisan, macam-macam tohmahan macam-macam cerita.
“Kita sebagai rakyat mesti berupaya untuk meneliti mana betul mana yang tidak, di situ nanti kita boleh melihat siapa yang bercakap benar dan sentiasa sahaja melemparkan tohmahan dan lemparkan fitnah dalam pilihan raya ini,” katanya.
Beliau yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke Pusat Pengundian Awal di Dewan Angkasaraya, Pangkalan Udara Sendayan di sini hari ini.
Terdapat seramai 907 pegawai dan anggota termasuk pasangan masing-masing mengundi di tiga di pusat pengundian awal tersebut.
Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, setakat ini proses pengundian awal dilihat berjalan lancar.
“Setakat ini, sudah 15 peratus (pukul 9.30 pagi tadi) anggota tentera telah menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk membuat undi awal dan saya melihat proses pembuangan undi ini amat lancar sekali.
“Ada tiga saluran dan hanya ambil masa dua hingga tiga minit. Saya harap proses ini akan terus berjalan lancar,” katanya lagi.
Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Rantau, Rozmal Malakan turut meninjau proses pengundian awal di situ.
“Seronok masuk kem kerana sudah lama tidak masuk kem. Dahulu saya anak askar dan biasa keluar masuk kem dan agak teruja. Saya baharu sahaja meninjau ke Balai Polis Rantau pada pukul 8.45 pagi tadi, Alhamdulillah semua berjalan lancar,” katanya lagi.
Terdapat sebanyak tiga pusat pengundian awal dibuka di DUN Rantau hari ini.-UTUSAN.