KOTA BHARU Barisan Nasional (BN) Kelantan tidak akan melayan sebarang pendedahan yang bakal dibuat oleh Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa mengenai penghijrahan beramai-ramai ahli parti itu pada Jumaat ini.
Setiausahanya, Datuk Seri Md. Alwi Che Ahmad berkata, pihaknya mengambil pendekatan tunggu dan mendengar apa sahaja sahaja pengumuman oleh Annuar.
“Soal Annuar kita letak tepi kerana dia dalam keadaan kecewa, orang yang dalam keadaan marah , kita tidak boleh layan sangat.
“Kalau nak umum berapa yang keluar parti, yang nak pergi pergi atau tinggal, umum la.. kita tunggu buah mana yang jatuh samada yang ‘muda’ atau ‘tua’ ,” katanya pada sidang akhbar PRN BN- Pakatan Harapan (PH) di Dewan UMNO Kelantan di sini hari ini.
Md. Alwi yang juga Ketua UMNO Ketereh memberitahu, setakat ini, pihaknya belum menerima apa-apa maklumat berhubung pendedahan Pengerusi Muafakat Nasional (MN) mengenai ada cawangan parti itu akan di tutup.
Katanya, pengisytiharaan keluar parti adalah perkara biasa dan tidak menjadi sebarang isu.
“Kita tunggu Jumaat ini, setakat yang saya tahu tidak ada cawangan Ketereh yang akan ditutup.
“Isytihar (keluar parti) di mana-mana pun ada dan itu bukan isu bagi saya kerana kita juga boleh buat perkara yang sama namun penghijaran (Annuar) berlaku bukan dari hatinya sendiri tetapi dia dia dipecat dan itu ada perbezaannya,” ujarnya.
Md. Alwi turut menegaskan meskipun berlaku pengisytiharaan keluar parti dan sebagainya, namun itu tidak akan menjejaskan Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Utusan Malaysia melaporkan, bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa mendedahkan ada cawangan parti itu akan di tutup pada Jumaat ini.
Beliau berkata, penutupan itu susulan penghijrahan keluar beramai-ramai ahli UMNO di kawasan Ketereh.-UTUSAN