KOTA BHARU : Gandingan ulamak dan teknokrat untuk jawatan Menteri Besar (MB) Kelantan dan Timbalan Menteri Besar (TMB) dilihat sebagai suatu perkara yang baharu jika Pas kekal berkuasa di negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, perkara tersebut dilihat sebagai perkara yang bagus untuk Kelantan.
“Gandingan ulamak dan teknokrat dalam pentadbiran Kelantan sudah lama dilakukan sejak zaman pentadbiran Tok Guru lagi (Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat) cuma bukan MB dan TMB.
“Dalam barisan Exco kerajaan negeri, sesetengahnya adalah dalam kalangan profesional seperti peguam, juruukur dan teknokrat biasa. Itu sudah menjadi amalan kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Panji, di sini hari ini.
Mohd. Amar yang juga TMB Kelantan memberitahu, halatuju dan fasa baharu kerajaan negeri bergantung kepada MB baharu sama ada untuk memberi fokus kepada pembangunan, perkembangan ekonomi dan sebagainya.
Katanya, perkara yang penting adalah meneruskan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dan mengukuhkan perkara tersebut.
“Dalam tempoh 33 tahun ini kita tengok penerimaan rakyat terhadap dasar MBI sangat baik. MB, Datuk Ahmad Yakob sendiri telah memperkenalkan dasar Merakyatkan MBI.
“Cuma dasar ini perlu diperkukuhkan selepas 33 tahun. Itu yang kita harapkan supaya kita boleh terus memacu negeri ini dan betul-betul memenuhi hasrat untuk membangun bersama Islam,” ujarnya.-UTUSAN