JELI: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas, di sini mendedahkan masalah capaian internet yang lemah di kawasan itu ketika ini menjejaskan segala urusan secara dalam dalam talian.
Hasil tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penduduk di kawasan itu mahu wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini dapat menyelesaikan masalah tersebut.
Seorang penduduk Zuliati Mohd. Nor, 41, berkata, berkata, capaian internet yang lebih laju merupakan satu keperluan mendesak buat mereka.
“Kami tidak sanggup lagi menghadapi situasi ini, memandangkan penggunaan internet kini menjadi keperluan kepada semua pihak termasuk pelajar sekolah, mahasiswa dan peniaga secara dalam talian.
“Hal ini kerana semua urusan ini bergantung kepada aplikasi yang menggunakan internet. Sebagai alternatif, kami terpaksa mencari liputan di kawasan bandar yang memakan masa hampir setengah jam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bagi Zanita Mohd. Nor, 51, pula, masalah itu menyebabkan urusan jual beli menggunakan mesin kad debit di premisnya sering tergendala.
Katanya, situasi itu menyebabkan ramai yang pelanggan merungut memandangkan penggunaan kad debit semakin meluas ketika ini.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Air Lanas, Nasrul Hadi Kamaruzaman berkata, beliau mengambil serius perkara tersebut sebagaimana yang telah disuarakan sebelum beliau menjadi calon.
Katanya, perkara ini antara fokus utama yang diberi keutamaan jika diberi mandat sebagai wakil rakyat selepas 12 Ogos nanti.
PRN kali ini, Nasrul Hadi akan ditentang oleh Pengerusi Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan Datuk Kamaruddin yang bertanding menggunakan logo Pas.-UTUSAN