PRN: Calon termuda di Negeri Sembilan nafi jadi proksi - Utusan Malaysia

PRN: Calon termuda di Negeri Sembilan nafi jadi proksi

MUHAMMAD Syakir Fitri Sadri (kiri) bertemu orang ramai di Senawang bagi memperkenalkan dirinya sebagai calon Bebas di DUN Paroi.-UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Muhammad Syakir Fitri Sadri, 25, menafikan dakwaan bahawa beliau menjadi calon proksi kepada mana-mana pihak.

Dakwaan itu mula tersebar apabila dirinya merupakan bekas Pegawai Penyelidik dan Tugas Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi sebelum ini iaitu Datuk Mohamad Taufek Abd. Ghani.

Mohamad Taufek yang merupakan bekas Exco kerajaan negeri tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusinya itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 kali ini.

“Penglibatan saya ini tidak ada kaitan dan tiada kena mengena dengan mana-mana pihak atau individu, mungkin ada yang berfikir adakah saya dihantar atau proksi untuk memecahkan undi dan sebagainya, saya mahu jelaskan bahawa saya masuk adalah untuk menang.

“Saya tidak disuruh bertanding oleh mana-mana pihak termasuklah oleh bekas wakil rakyat di kawasan ini. Saya juga tidak ditaja mana-mana pihak, boleh semak rekod, saya gunakan wang saya sendiri, memang ada yang menyumbang tetapi bukan oleh mana-mana parti sebaliknya oleh rakan-rakan yang mahu membantu itu pun bukan dalam kuantiti yang banyak,” katanya ketika ditemui di Senawang.

Sementara itu, Muhammad Syakir yang merupakan calon termuda yang bertanding di Negeri Sembilan dalam pilihan raya kali ini menjelaskan, keputusannya mahu bertanding adalah salah satunya didorong untuk memperkasakan golongan orang muda.

“Bagi saya, sebelum ini kata-kata (untuk membawa) suara anak muda itu hanyalah retorik ataupun kepentingan individu tertentu untuk meraih undi orang muda sebaliknya ia tidak memperkasakan orang muda ini pun dari segi pembangunan negeri dan dasarnya,” kata beliau.

Jelasnya, jumlah pengundi muda di DUN Paroi mencecah 60 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi di kawasan itu yang hampir 61,000 orang.

Tambahnya, daripada jumlah berkenaan, jumlah pengundi berusia 18 sehingga 20 tahun pula sekitar 20,000 orang.

DUN Paroi menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu di antara Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Negeri Sembilan, Norwani Ahmat yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Yang Dipertua Pas Rembau, Kamarol Ridzuan Mohd. Zin selain Muhammad Syakir Fitri.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya