TUMPAT : Calon Pakatan Harapan (PH) Mohamad Zamakh Sari Ibrahim bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan menyeru pengundi untuk keluar awal bagi menjalankan tanggungjawab memilih pemimpin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.
Mohamad Zamakh Sari berkata, tindakan tersebut bertujuan mengelakan pengundi berdepan saat-saat akhir.
“Menjadi satu kerugian jika kita melepaskan peluang untuk melaksanakan tanggungjawab ini yang hanya dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sekali sahaja,
“Hari ini penentu kemenangan parti yang bertanding, namun saya yakin ada kecenderungan untuk anak muda bersama PH. Isu pertukaran Menteri Besar dan Timbalan Menteri yang diumumkan semalam oleh Pas jika mereka menang selepas ini menjadi satu kelebihan untuk PH mendapat sokongan pengundi ,” katanya kepada pemberita selepas membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut di sini.
Mohamad Zamakh Sari yang memakai kemeja warna biru muda selesai mengundi di saluran tiga pada pukul 8.26 pagi.
Pada PRN Kali ini Zamakh Sari akan bertembung dengan penyandang kerusi DUN Pasir Pekan Datuk Ahmad Yakob yang merupakan Menteri Besar Kelantan.
Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu (PRU-14) menyaksikan Ahmad menang dengan 8,352 undi menewaskan Wan Sanusi Wan Yunus (BN) dan Wan Johari Wan Omar (PKR).
Ahmad meraih 14,298 undi, Wan Sanusi (5,946) dan Wan Johari (2,140).-UTUSAN