PRN: BN-PH kemukakan tawaran terbaik untuk rakyat Kelantan

PRN: BN-PH kemukakan tawaran terbaik untuk rakyat Kelantan

Syed Mohd. Alidustur Mohd. Zain (dua dari kiri dan Zahir Hassan (tiga dari kanan) menunjukkan manifesto BN-PH pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama DUN Panchor di Kedai Lalat, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tawaran yang dikemukakan oleh Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) untuk rakyat Kelantan sempena pilihan raya negeri (PRN) kali disifatkan cukup baik dan perlu diterima dengan memberikan kemenangan kepada gabungan itu pada 12 Ogos ini.

Calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor Syed Mohd. Alidustur Syed Mohd. Zain berkata, dia berharap rakyat dapat membuka mata dan membuat penilaian demi kepentingan bersama terutama melibatkan isu air.

“Tawaran untuk menghapuskan tunggakan bil air itu dilihat memberi manfaat yang besar buat penduduk di seluruh negeri termasuk DUN Panchor.

“Masalah air juga menjadi satu isu utama penduduk di sini. Ramai yang mengatakan bekalan air di rumah mereka kotor dan kuning sehingga perlu membasuh pakaian di dobi,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama DUN Panchor di Kedai Lalat di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan yang membantu kempen Syed Mohd. Alidustur di DUN Panchor.

Syed Alidustur yang merupakan calon baharu memberitahu, hasil gerak kerja kempen yang dilakukan mendapati Kira-kira 2,500 buah rumah di DUN Panchor di sini akan mendapat manfaat daripada penghapusan bil Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) jika gabungan itu menang.

Katanya, jumlah itu melibatkan seramai 10,000 isi rumah penduduk yang tinggal di DUN berkenaan.

“Selepas menjalankan kempen selama seminggu, kebanyakan penduduk terlibat merungut apabila mereka tetap perlu membayar bil air AKSB meskipun tidak menggunakan perkhidmatan tersebut di rumah mereka.

“2,500 buah rumah yang terlibat itu dikenal pasti menggunakan air telaga tiub apabila bekalan air AKSB tidak sampai ke kediaman mereka meskipun ada meter air berdaftar di rumah. Mereka perlu bayar bil, tetapi paip air AKSB hanya keluar angin. Keadaan itu menyebabkan bil-bil air penduduk tertunggak bertahun-tahun,” ujarnya.

Pada PRN kali ini, Syed Mohd. Alidustur bertanding untuk merebut kerusi DUN Panchor daripada Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang merupakan Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Mohd. Amar merupakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor di kawasan yang merupakan kubu kuat Pas sejak empat penggal lalu.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, BN-PH berjanji akan menghapuskan tunggakan bil AKSB dan menurunkan caj permohonan bekalan air domestik bagi kediaman sekiranya diberikan mandat untuk memerintah Kelantan pada PRN.

Tawaran tersebut merupakan salah satu daripada 34 inisiatif BN-PH dalam membantu rakyat dalam aspek ekonomi menerusi empat teras Tawaran Kepada Rakyat Kelantan-Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN