PRN: BN-PH kemuka tawaran hapus tunggakan bil air, turun kadar cukai tanah 

PRN: BN-PH kemuka tawaran hapus tunggakan bil air, turun kadar cukai tanah 

AHMAD Jazlan Yaakob (dua kiri) bersama barisan pemimpin memegang manifesto BN-PH selepas Majlis Pengisytiharan Tawaran Kepada Rakyat Kelantan Sempena PRN Kelantan di Dewan UMNO negeri, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) akan menghapuskan tunggakan bil Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dan menurunkan kadar cukai tanah jika diberi mandat untuk mentadbir Kelantan selepas pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pengerusi Parti Kerajaan Perpaduan Madani Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, perkara tersebut merupakan sebahagian daripada 34 tawaran yang dikemukakan BN-PH dalam membantu rakyat negeri ini.

Menurutnya, kesemua tawaran itu terkandung bawah empat teras utama, iaitu Syiar Islam, Ekonomi, Pendidikan, Wanita dan Orang Muda serta Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara yang bertemakan Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran.

“Demi memberikan kelegaan awal kepada rakyat dalam isu ini BN-PH akan menghapuskan tunggakan bil Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dan mengurangkan caj permohonan bekalan air domestik ke rumah-rumah penduduk.

“Kita juga ingin mencipta peluang kerja baharu kerana menyedari negeri ini mempunyai banyak sumber dan peluang yang belum diteroka,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat UMNO Kelantan, di sini sebentar tadi.

Pengerusi BN negeri ini memberitahu,  gabungan BN-PH akan turut memperkasakan semula industri pelancongan Kelantan yang berasaskan seni budaya, makanan, kraf (batik, pertukangan emas dan perak) dan destinasi pelancongan

Katanya, tawaran itu dikemukakan melalui teras ekonomi di bawah Urusan Pejabat Tanah dan Jajahan, termasuk menurunkan kembali kadar premium tanah sehingga 50 peratus.

“Kita juga bersetuju menurunkan kadar cukai tanah termasuk tunggakan akan dinilai semula mengikut kadar baharu. Selain itu kita bersetuju menurunkan caj pecah sempadan dan ubah syarat tanah sebanyak 50 peratus.

“Tata kelola di Pejabat Tanah dan Jajahan juga akan diperkemaskan termasuk menambah perjawatan bagi membuka peluang pekerjaan dengan kerajaan negeri. Kita juga berhasrat membina paling kurang 5,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun,” ujarnya.

Ahmad Jazlan berkata, pihak Kerajaan Perpaduan Madani turut menawarkan kemudahan parkir percuma di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta menaiktaraf, membina baharu dan menyelenggara sebuah Taman Rekreasi Awam di setiap PBT seluruh negeri.

“Kita juga akan menaiktaraf semua pasar awam di seluruh Kelantan dan membina Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu (Kelantan Sentral) dengan kadar segera. Kita juga mahu menjana pelaburan baharu dalam pelbagai sektor terutama pembuatan dan teknologi.

“Untuk orang muda kita tawarkan bantuan ‘one off’ sehingga RM3,000 kepada pelajar anak Kelantan yang menerima tawaran ke institusi pengajian tinggi awam atau swasta serta tiket pergi balik bas dan keretapi percuma untuk mahasiswa anak Kelantan sebanyak dua kali setahun sehingga tamat pengajian,” katanya.

Ahmad Jazlan berkata, turut ditawarkan adalah bantuan RM1,000 kepada ibu bersalin anak pertama, biasiswa tahunan RM300 untuk pelajar tingkatan enam dan mewujudkan pusat rekreasi, sukan dan e-sport termasuk padang bola sepak yang dengan fasiliti lengkap di setiap jajahan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN