PRN: BN-PH 'kalah awal' sebab itu sibuk persoal siapa calon MB Kelantan-Pas Kelantan

PRN: BN-PH ‘kalah awal’ sebab itu sibuk persoal siapa calon MB Kelantan-Pas Kelantan

WAN Roslan Wan Hamat semasa sidang media harian Perikatan Nasional (PN) di Pejabat Perhubungan Pas Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSA/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) yang sibuk ‘menjaja’ siapa calon Menteri Besar jika Pas kekal mentadbir Kelantan memberi isyarat parti itu sudah mengaku kalah lebih awal sebelum keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) diumumkan 12 Ogos ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, tindakan tersebut bukan sahaja memperlihatkan ‘kegoyahan’ gabungan itu malah dilihat sudah kehabisan modal sehingga menjadikan isu tersebut sebagai bahan kempen.

“Menteri Besar ini adalah urusan parti, jangan campur ‘rumah tangga’ orang, kita tidak tahu lagi menang atau kalah dalam PRN, sebab itu ia (calon Menteri Besar) hanya perbincangan di peringkat kita (Pas).

“Jadi mereka (BN-PH) sudah mengaku kalah lebih awal dan itulah dikatakan dia (BN-PH) sudah kehabisan modal sehingga mencampuri hal ‘rumah tangga’ orang ,”katanya pada sidang akhbar harian Perikatan Nasional (PN) di Pejabat Perhubungan Pas Kelantan di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan BN meramalkan Datuk Ahmad Yakob dijangka tidak akan dinamakan sebagai Menteri Besar Kelantan sekiranya Pas terus mendapat mandat dari rakyat untuk menjadi kerajaan selepas PRN 12 Ogos ini.

Setiausahanya, Datuk Seri Md. Alwi Che Ahmad mendakwa perkara tersebut tidak mustahil berlaku selepas Pas dilihat berdepan krisis dalaman ketika ini.

Dalam perkembangan lain,  Wan Roslan  berkata, sokongan masyarakat Siam di negeri ini dilihat meningkat 30 peratus pada PRN kali ini berbanding hanya lima peratus sebelum ini.

“Dulu nak buat ceramah dan perjumpaan pun susah, sekarang ini insya-Allah meningkat dua kali ganda berbanding sebelum ini.

“Beberapa kawasan penempatan masyarakat Siam seperti di Jubakar, Mentuan dan Kubang Panjang  yang tidak pernah dimenangi Pas sebelum ini dijangka akan mendapat sokongan mereka,”katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya