PRN: Bersatu akan umum nama ahli dipecat

PRN: Bersatu akan umum nama ahli dipecat

HAMZAH Zainuddin semasa berucapa pada Ceramah Perdana Isu Semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan malam tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengumumkan nama-nama ahli yang bakal dipecat susulan menjadi calon bebas atau menyokong calon lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pengumuman berkait perkara tersebut dalam masa sehari atau dua hari lagi.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengambil sedikit masa untuk membuat pemeriksaan di seluruh negara bagi mendapat kepastian mengenai situasi sebenar termasuk bilangan ahli terlibat dan sebagainya.

“Kita buat pemeriksaan di seluruh negara dan kerana itu perlu ambil sedikit masa. Kita mahu kepastian… adakah hanya satu, dua atau tiga individu sahaja… biar kita laksanakan secara keseluruhan.

“Kalau tidak nanti ada yang kata pilih kasih apabila satu pihak dikenakan tindakan tetapi satu pihak lain tidak dikenakan tindakan. Jadi kita dapatkan kepastian di seluruh negara lebih dahulu dan nama-nama itu kita umum kemudian,” katanya pada sidang akhbar selepas program Ceramah Perdana Isu Semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Larut itu menjelaskan, sekiranya ahli-ahli terbabit didapati melanggar undang-undang Fasal 10.2.2 Perlembagaan Bersatu, mereka boleh dipecat atau keahlian mereka tergugur dengan sendiri.

“Ramai yang terlibat. Bukan hanya menjadi calon bebas tetapi menjadi penyokong calon lain atau melakukan sesuatu yang boleh mencacatkan peluang calon-calon mewakili Perikatan Nasional (PN) untuk menang.

“Bila masuk pilihan raya ini kita nak menang. Namun kena kerja kuat termasuk buat kajian mendalam mengenai apa yang perlu dilakukan untuk mencapai kemenangan lebih besar,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, Pas menggugurkan keahlian Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie yang masing-masing bertanding sebagai calon Bebas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan Ayer Hangat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN