KOTA BHARU : Tindakan Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani Annuar terus menzahirkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PRN) apabila memakai jaket berlogo Pas semasa menghadiri Ceramah Umum Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor di sini malam tadi.
Afiq Amani yang juga anak kepada bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini dia masih kekal dengan keputusan untuk tidak memikirkan mengenai hala tuju karier politiknya selepas mengumumkan keluar dari UMNO semalam.
“Ini (jaket) tiada apa-apa, saya pakai ini sekadar untuk menunjukkan sokongan kepada PN. Setakat ini, saya belum memikirkan untuk berkempen membantu jentera PN atau tidak ,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Hadir sama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.
Terdahulu, Afiq Amani bersama beberapa pimpinan lain yang mengumumkan perletakan jawatan dan keluar dari UMNO telah dijemput naik ke pentas dan disarungkan jaket berwarna hijau yang tertera dengan logo Pas.
Utusan Online semalam melaporkan, Afiq Amani menjadi antara pemimpin muda UMNO yang keluar daripada parti itu semalam.
Pengumuman itu dibuat bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dalam satu sidang akhbar di rumahnya di Bukit Marak di sini
Selain Afiq Amani, Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Ketereh Kamarudin Said dan Ketua Wanita UMNO Sabariah Hamzah turut diumum keluar dari parti itu.
Afiq Amani berkata, keputusan itu dibuat berpandukan kepada keadaan UMNO kini yang dilihat sudah lari daripada landasan perjuangan sebenar.
Menurutnya, perkara itu jelas dilihat selepas UMNO mengambil keputusan untuk bersama di dalam Kerajaan Perpaduan sehingga mengenepikan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MIC serta MCA.-UTUSAN