PRN: Anggota polis buta antara 371 undi awal di Kuala Selangor

PRN: Anggota polis buta antara 371 undi awal di Kuala Selangor

ABDULLAH Sidee (kiri) dipimpin rakannya ketika mengundi awal di IPD Kuala Selangor, Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Keterbatasan diri tidak menghalang seorang anggota polis yang cacat penglihatan menunaikan tanggungjawab membuang undi hari ini.

Koperal Abdullah Sidee Mohamed, 35, antara 371 pengundi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, di sini.

Beliau yang bertugas di Bahagian Logistik dan Teknologi Cawangan Pengangkutan IPD itu tiba dengan bertongkat dan dibantu rakannya, Lans Koperal Sazwan Hariq Mahmad pukul 9.30 pagi.

Abdullah Sidee berkata, dia bersyukur selesai melunaskan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Selain teruja, saya teruja dan gembira masih berpeluang menyuburkan sistem demokrasi Malaysia biarpun cacat.

“Saya berharap negara ini kekal stabil dan harmoni demi generasi masa depan,” katanya ketika ditemui selepas proses pengundian awal itu.

Tambah beliau, ia merupakan kali ketiga dia mengundi dalam keadaan masalah penglihatan yang dialami akibat masalah ketumbuhan pada saraf mata sejak 2017. 

“Saya berterima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membantu memudahkan proses pengundian dengan lancar,” ujar bapa seorang anak itu.

Keterujaan turut diluahkan pasangan suami isteri, Inspektor Mohd. Fahmi Ahmad, 36, dan isterinya, Sarjan Nurardila Ismail, 35, yang kali keempat mengundi awal di IPD tersebut.

Mohd. Fahmi yang bertugas di Bahagian Pengurusan Cawangan Pelesenan IPD itu berkata, dia bersyukur masih mengundi bersama isterinya yang berkhidmat di Unit Pencegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti.

“Kami berdua sememangnya mula berkenalan di IPD ini sebelum melangsungkan perkahwinan pada 2017.

“Alhamdulilah, kami turut masih berpeluang untuk bersama mengundi kali ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa menjadi pengundi pertama yang melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

“Seramai 371 pegawai dan anggota mengundi awal di empat saluran daerah ini melibatkan tiga saluran di IPD Kuala Selangor manakala satu lagi di Balai Polis Tanjong Karang,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya