GUA MUSANG: Aliran trafik masuk ke negeri ini dari Kuala Lipis, Pahang ke bandar Gua Musang masih lancar tanpa pertambahan kenderaan menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Tinjauan Utusan Malaysia sehingga pukul 6 petang tadi mendapati aliran trafik melalui Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Kuala Lipis serta kawasan lampu isyarat di bandar Gua Musang masih lancar tanpa pertambahan kenderaan.
Seorang pengguna jalan raya, Abdullah Omar, 35, berkata, pertambahan kenderaan dijangka berlaku esok susulan anak Kelantan di perantauan akan mula pulang ke kawasan masing-masing untuk mengundi.
“Setakat ini aliran trafik di sekitar bandar ini masih lagi terkawal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang perantau dari Kuala Lumpur, Raja Nizam Raja Alias, 37, berkata, dia mengambil cuti tiga hari untuk pulang mengundi di Kuala Krai.
Katanya, meningatkan kepada anak-anak perantau supaya berhati-hati sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman untuk mengundi.-UTUSAN