PRN : Aktivis PH buat laporan, terima 400 mesej perantau Kelantan minta duit minyak

PRN : Aktivis PH buat laporan, terima 400 mesej perantau Kelantan minta duit minyak

MOHAMAD Redzuan (tengah) menunjukkan laporan polis selepas membuat laporan di IPD Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang aktivis Pakatan Harapan (PH) Kelantan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini hari ini selepas ada pihak yang melemparkan tuduhan bahawa dia menawarkan duit minyak kepada pengundi luar untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mohamad Redzuan Rosli, 33, berkata, dia sebelum ini menubuhkan kumpulan WhatsApp iaitu ‘Preboh Mat Amar’ yang mengumpulkan ramai anak-anak Kelantan dan mempunyai 4,800 orang ahli di dalam empat kumpulan berasingan.

Menurutnya, bagaimanapun, ada individu yang mendakwa dia menawarkan duit minyak berupa wang tunai sebanyak RM300 kepada anak rantau yang akan pulang mengundi di Kelantan menerusi kumpulan WhatsApp tersebut.

“Individu tersebut juga membuat akaun Facebook palsu iaitu ‘Umdap Madanon’ sebelum membuat hantaran bahawa perantau boleh membuat tuntutan RM300 dengan meletakkan nama, nombor telefon saya dan beberapa rakan lain.

“Saya tidak pernah membuat tawaran tersebut meskipun menubuhkan kumpulan WhatsApp itu. Ia merupakan satu fitnah yang dilempar kepada saya,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan IPD Kota Bharu hari ini.

Mohamad Redzuan memberitahu, ekoran daripada hantaran di Facebook itu, dia menerima kira-kira 400 mesej WhatsApp dan banyak panggilan daripada perantau Kelantan yang mahu menuntut duit minyak tersebut selepas pulang mengundi.

Katanya, dia agak kecewa apabila namanya dikaitkan dengan kegiatan politik wang sekali gus menyebabkan reputasinya sebagai aktivis dalam PH tercemar.

“Bukan amalan saya untuk memberi duit minyak kepada perantau. Kesemua pengundi luar perlu menyatakan kesanggupan untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tanpa mengharapkan tawaran kewangan.

“Di dalam kumpulan Whatsapp itu, ada ramai individu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang malah anggota polis juga ada di situ. Saya tidak pernah menawarkan duit minyak kepada perantau dan menyangkal dakwaan yang dibuat oleh akaun Facebook palsu itu,” ujarnya.

Mohamad Redzuan berkata, dia berharap pihak polis menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut dan mengesan individu yang tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan fitnah terhadap dirinya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN