PRN: Ahmad Faizal positif PN dapat bentuk kerajaan di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

PRN: Ahmad Faizal positif PN dapat bentuk kerajaan di Negeri Sembilan

AHMAD Faizal Azumu ketika ditemui pemberita selepas majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best Bersama Presiden Pas di Bandar Sri Sendayan, Seremban malam tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perikatan Nasional tetap optimis dapat membentuk kerajaan di Negeri Sembilan berdasarkan reaksi positif terima dalam kalangan pengundi setakat seminggu tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini.

Dakwa Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berdasarkan kajian sikap yang telah dilakukan, parti itu boleh memenangi lebih 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

“Agak berbeza daripada kajian sikap yang kami lakukan berbanding PRU15 di Negeri Sembilan, kali ini kami dapati orang ramai selesa dan beri ruang kepada kami untuk berbicara dan mereka juga beri reaksi positif, perkembangan inilah yang buat jentera kami amat bersemangat kali ini.

“Saya lihat perkembangan amat positif, kami masih lagi dalam tahap keyakinan dan potensi kami untuk selepas 12 hari bulan akan berjaya tubuhkan kerajaan negeri, memang mahu tubuh kerajaan, ia mungkin 19 (kerusi) atau lebih,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best Bersama Presiden Pas di Bandar Sri Sendayan di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

ABDUL Hadi Awang dan Ahmad Faizal ketika menghadiri majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best Bersama Presiden Pas di Bandar Sri Sendayan, Seremban malam tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Ahmad Faizal pada masa yang sama turut mempersoalkan keyakinan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menang di kesemua 36 buah kerusi DUN di negeri ini.

“Kalau mereka yakin dengan 36-0, mana mungkin pemimpin utama mereka terpaksa datang sini saban malam sejak hari penamaan calon.

“Kemudian saya dapati juga calon-calon nama besar terpaksa berkampung di tempat masing-masing untuk mempertahankan diri, saya fikir mereka juga faham saingan yang kami berikan sangat sengit,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu turut berharap peratusan keluar mengundi pada 12 Ogos ini adalah tinggi dan melebihi 80 peratus.

“Minggu terakhir ini saya harap usaha perlu dilipat gandakan untuk memastikan lebih ramai pengundi kami bersemangat untuk mengundi kerana kami galakkan peratusan keluar mengundi itu meningkat dengan tinggi.

“Sama seperti sebelum ini, apabila peratusan keluar mengundi tinggi, peratusan (kami) menubuhkan kerajaan juga akan tinggi,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya