JOHOR BAHRU: Calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi, 47, tidak hirau menjadi ‘kijang’ yang berada di tengah pertempuran antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menentang Perikatan Nasional (PN) bagi merebut kerusi Parlimen Pulai pada 9 September ini.
Walaupun sedar peluangnya tipis, namun Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) itu tetap mahu suara yang dibawakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu didengari.
Beliau yang pernah bertanding di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak serik untuk bertanding lagi walaupun berkemungkinan tinggi akan hilang deposit.
Menurutnya, hasrat untuk bertanding kerana beliau melihat lebih banyak perebutan kedudukan berlaku berbanding perjuangan isu rakyat selepas berakhirnya PRU15.
“Saya rasa sudah sampai masanya kita perlu wujudkan blok ketiga dalam Parlimen untuk membawa suara rakyat sebab saya pun sudah jemu dengan permainan isu politik.
“Ini kerana banyak melibatkan isu perebutan kerusi dan isu rakyat sekarang semakin ke belakang. Saya rasa perlu ada blok ketiga, iaitu daripada pihak NGO di dalam Parlimen,” katanya.
Samsudin yang menggunakan logo kunci berdepan saingan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kayat yang mewakili PH dan Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zulkifli Jaafar daripada PN.
Samsudin berkata, setiap calon ada kelebihan masing-masing tetapi beliau ingin membawa isu membabitkan pemotongan gaji kakitangan awam oleh syarikat pemberi pinjaman tidak berlesen.
“Saya telah melawan kes tersebut sejak 2017 sehingga sekarang di mahkamah dan isu-isu pemberi pinjaman tidak terkawal sehingga membebankan rakyat dan isu harga barang semakin naik.
“Walaupun kami telah beritahu kerajaan banyak kali tetapi suara NGO tidak berapa didengari, kita juga akan fokus pada isu rakyat,” katanya yang mempunyai kekuatan jentera seramai 10 orang. – UTUSAN