JOHOR BAHRU: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram supaya sentiasa mematuhi etika dan peraturan semasa berkempen.
Perdana Menteri berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan bahawa semua parti politik tidak boleh menggunakan lambang parti dalam memberi atau menyalurkan bantuan kepada rakyat.
“Berhubung dengan etika kempen dan juga bantuan-bantuan kerajaan, kita telah berbincang dengan Menteri Besar (agar tidak ada pelanggaran.
“Kita hormat peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya dan keduanya, perkara berbangkit (iaitu) penyaluran bantuan kerajaan menggunakan lambang parti, ini telah diamalkan Perikatan Nasional (PN) dahulu dan saya percaya ada juga satu dua berlaku dalam kerajaan perpaduan.
“(Saya tegaskan) bantuan kerajaan perlu disalurkan atas nama kerajaan,” katanya ditemui selepas menghadiri Kenduri Rakyat dan Menyampaikan Bantuan Bakul Rahmah di Dataran Taman Dahlia, Kempas di sini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fauziah Salleh.
Pada majlis itu, Anwar menyempurnakan simbolik menyampaikan bantuan Bakul Rahmah kepada 10 penduduk Taman Dahlia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam ucapannya berkata, usaha bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub memperkenalkan inisiatif Payung Rahmat nyata dapat membantu meringankan beban rakyat.
“Salahuddin sudah lama berpolitik, bila (dia) pegang jabatan (KPDN) tumpuan kerja yang dilaksanakan dengan amanah, kurangkan tekanan kos sara hidup kepada rakyat.
“Semoga contoh ini dapat teruskan (sekali gus) menguatkan kerajaan dengan maksud beri khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.
SPR menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) pada 23 Julai lalu. – UTUSAN