KOTA BHARU: Pas meramalkan ahli UMNO akan terus mengundi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram 9 September ini.
Naib Presidennya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, situasi itu berpandukan kepada momentum yang diterjemahkan oleh ahli UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu.
“Kita (Pas) jangka penolakan itu (Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) akan terus berlaku.
“Penolakan itu membuka peluang kepada kita (PN) untuk mengambil alih semula kerusi tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat DUN Panchor di sini hari ini.
Mohd. Amar memberitahu, kehadiran tokoh UMNO yang cenderung menyokong PN dilihat mampu membantu kemenangan pada PRK itu nanti.
Katanya, kehadiran tokoh UMNO itu mampu menarik undi dari penyokong Barisan Nasional (BN) untuk bersama-sama PN sekali gus mencapai kemenangan.
“Mengenai dua tokoh yang kita tampilkan itu, saya lihat ia adalah pilihan terbaik daripada parti dan mampu memberikan kemenangan kepada PN,” ujarnya.
Mohd. Amar berkata, kemenangan di Parlimen Pulai akan memudahkan lagi PN menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.
Media semalam melaporkan, Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai, Zulkifli Jaafar diumumkan sebagai calon PN bagi Parlimen Pulai.
Dr. Mohd. Mazri Yahya yang merupakan pakar bedah endovaskular diumumkan sebagai calon PN bagi kerusi DUN Simpang Jeram.
Sementara itu Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat sebagai calon sekali gus meneruskan perjuangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada penduduk Parlimen Pulai.
Ir. Nazri Abdul Rahman pula diumumkan sebagai calon PH bagi kawasan DUN Simpang Jeram.
Pada PRU yang lalu, Salahuddin mempertahankan kerusi Parlimen Pulai selepas memperoleh 64,900 undi, menang dengan majoriti 33,174 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nur Jazlan Mohamed dan calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong.
Salahuddin juga berjaya mempertahankan DUN Simpang Jeram buat penggal kedua pada PRN Johor apabila memperoleh 8,749 undi mengalahkan calon PN, Zarul Salleh, calon BN, Datuk Lokman Md. Don dan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Mahaizal Mahmor.-UTUSAN