Pondok Kuning Ice Station bantu jual produk usahawan kecil

Pondok Kuning Ice Station bantu jual produk usahawan kecil

INTAN SYAFINAZ ABU TALIB (kiri) dan Siti Asrina Miswan menunjukkan pelbagai produk yang dijual di Pondok Kuning Ice Station di Jalan Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Ketika menjaga ibunya yang menghidap penyakit buah pinggang selama 18 tahun, dia mengisi masa lapang dengan membuat pelbagai jenis sambal bagi mencari pendapatan tambahan.

Suri rumah yang gigih berusaha ini, Intan Syafinaz Abu Talib, 43, kini tetap masih meneruskan usaha membuat sambal walaupun ibunya, Kasmah Jumat, 77, telah meninggal dunia pada Mac tahun lalu.

Selain menghasilkan pelbagai produk sambal seperti sambal belacan, berlado hijau, ayam penyet dan kicap ngences, dia turut membuat pes asam pedas, rendang, tom yam dan ibu sambal berdasarkan tempahan daripada orang ramai dan peniaga kedai runcit.

“Sejak dua bulan lalu, saya memberanikan diri membuka gerai di hadapan rumah yang dinamakan Pondok Kuning Ice Station yang bukan sahaja memasarkan sambal dan pes, malah menjadi ejen menjual produk daripada pengusaha lain.

“Setakat ini seramai 20 pengusaha kecil makanan menghantar produk mereka seperti nasi kerabu, nasi ayam penyet, nasi ambeng, nasi arab, nasi kak wok, spaghetti aglio olio, ramen meetball dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, dekat sini.

Dia mengeluarkan modal sebanyak RM3,500 bagi membina sebuah gerai yang dibuat dengan bantuan seorang pengusaha bengkel besi dan hanya mengambil ‘dalal’ antara RM1 hingga RM2 bagi setiap produk yang dijual serta turut menjual pelbagai jenis minuman seperti ais batu campur, ais kepal, ais jeli dan cendol.

Intan Syafinaz bersyukur kaedah pemasaran menerusi media sosial nyata memberikan kesan yang baik apabila ramai pengunjung yang melalui Jalan Kampung Parit Panjang singgah membeli jualannya.

Dia turut dibantu oleh saudaranya, Siti Asrina Miswan, 32, terutamanya pada waktu pagi dan tengah hari.

“Saya tidak menyangka, ramai golongan ibu termasuk ibu tunggal menjual pelbagai produk bagi mencari pendapatan membantu keluarga mereka masing-masing,” katanya.

Pondok Kuning Ice Station kini dapat membantu memasarkan produk mereka tanpa perlu ke lokasi yang jauh seperti ke Bandar Pontian.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya