ISKANDAR PUTERI: Ibu pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini mengambil langkah proaktif dengan menyediakan kelas Bahasa Inggeris kepada pegawai dan anggotanya, khususnya melibatkan pengambilan baharu.
Ketuanya, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, usaha itu selari dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan wilayah berkenaan sebagai hab pelaburan antarabangsa dan seramai 26 pegawai dan anggota pelbagai pangkat akan mengikuti program perintis selama empat bulan, bermula bulan ini.
“Apabila tamat kursus tersebut, peserta akan ditugaskan ke lokasi-lokasi awam yang mempunyai jumlah penduduk atau pengunjung tinggi dalam kalangan warganegara asing, termasuk pelancong dan komuniti perniagaan.
“Matlamat program ini untuk meningkatkan kebolehan dan keupayaan anggota dalam Bahasa Inggeris, tujuannya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada orang awam.
“Sebagai contoh, kami juga berhampiran dengan LinKedua, iaitu pegawai dan anggota kerap dipanggil untuk membantu menghadapi pelbagai isu melibatkan warganegara asing di sana,” katanya, di sini hari ini.
Rahmat berkata, kursus Bahasa Inggeris itu dijalankan setiap Ahad selama satu jam setengah bermula pukul 9 pagi.
“Pada penghujung kursus nanti, semua peserta akan menjalani ujian untuk melihat kefahaman dan keupayaan mereka sebelum dihantar ke kawasan-kawasan strategik seperti unit rondaan, penugasan kaunter dan pejabat-pejabat.
“Sekiranya program rintis ini berjaya, kita akan adakan lebih banyak kelas bahasa, bukan sahaja Bahasa Inggeris, malah juga bahasa Jepun dan Korea. Ini diambil kira kerana Iskandar Puteri juga mempunyai komuniti besar dalam kalangan warganegara Jepun dan Korea.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Johor (Jelta), Vincent D’Silva memberitahu, kursus itu memberi penekanan terhadap beberapa aspek pembelajaran sesuai dengan tanggungjawab para peserta.
“Antara yang diberikan fokus adalah kebolehan bertutur, menulis, mendengar dan membaca. Kaedah pengajarannya pula tidak bersandarkan format tatabahasa tradisional, sebaliknya lebih kepada komunikasi semasa.
“Lebih kukuh asas bahasa Inggeris mereka, lebih baik tahap komunikasi, sekali gus meningkatkan lagi imej polis pada mata masyarakat,” katanya. – UTUSAN