PN minta PH beri jawatan MB kepada Jalaluddin, Aminuddin anggap provokasi - Utusan Malaysia

PN minta PH beri jawatan MB kepada Jalaluddin, Aminuddin anggap provokasi

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan perlu berlapang dada untuk memberikan jawatan Menteri Besar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu mengambil kira bahawa UMNO mendapat kerusi terbanyak daripada keseluruhan 31 buah kerusi yang dimenangi oleh PH dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

“Di Negeri Sembilan, UMNO mendapat kerusi terbanyak, seharusnya PH perlu berlapang dada dengan memberikan kerusi Menteri Besar kepada Jalaluddin atas kejayaan mereka. Itulah semangat perpaduan yang telah dicanangkan. 

“UMNO tewas teruk di kesemua lima negeri yang lain, ahli-ahli UMNO tentu berasa kecewa dan jangan pula ahli UMNO dan para penyokongnya dikecewakan, sekali lagi,” katanya hari ini.

Daripada 31 buah kerusi yang dimenangi PH-BN semalam, UMNO memiliki sebanyak 14 kerusi diikuti DAP (11)  PKR (5) dan Parti Amanah Negara (1).

PN pula menang sebanyak lima buah kerusi DUN iaitu Serting, Paroi, Labu, Bagan Pinang dan Gemas.

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar di Seremban hari ini-UTUSAN/MOHD, SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kenyataan Ahmad Faizal itu hanyalah provokasi terutama kepada ahli-ahli akar umbi PH dan BN.

“Pandangannya itu supaya kita berpecah belah, tidak saling hormat menghormati, itu kerjanya sebagai pembangkang, hanya provokasi, perpaduan yang kami bina ini cuba dipermainkan, bukan sahaja semasa pilihan raya, selepas pilihan raya juga mahu provokasi orang lain,” katanya dalam sidang akhbar di Seremban hari ini.

Aminuddin dalam pada itu berkata, majlis angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan akan diadakan pada pukul 3 petang esok di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya