TAMPIN: Manifesto Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diketengahkan nanti bakal memberikan tumpuan kepada beberapa bidang utama seperti ekonomi dan pendidikan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu akan menawarkan manifesto di setiap negeri yang berlangsungnya PRN Ke-15 ketika ini dan ia akan dimulakan di Selangor esok.
“Saya mahu katakan, janji kami, memperkenalkan beberapa perkara dalam manifesto Negeri Sembilan iaitu mahu bangunkan ekonomi, pendidikan, sosial dan bidang-bidang lain.
“Ini janji kami dan bila kami berjanji, kami akan laksanakan,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Parlimen Tampin di Felda Jelai 4, di sini, malam tadi.
Yang hadir sama, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan UMNO sebagai sebuah parti yang rosak dan sudah hilang daripada perjuangan asalnya apabila bekerjasama dengan DAP.
“Dahulu jangan sebut DAP, pantang memang tidak sebulu, bukan parti yang harus didukung oleh orang Melayu. Saya bukan mahu cakap soal perkauman tetapi saya tahu, mereka tidak menggambarkan yang memahami hasrat dan cita-cita orang Melayu.
“Sebab itu sejak dahulu lagi UMNO tidak mahu bersepakat langsung dengan DAP, tidak boleh… tetapi macam mana hari ini sudah berbeza. UMNO dengan DAP berpeluk-peluk, jadi ini pelik.
“Saya tahu sebahagian yang ada di sini adalah ahli ahli UMNO, walaupun yang masih dalam UMNO jangan berfikir bahawa UMNO macam UMNO yang dahulu,” katanya.-UTUSAN.