SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta pengundi Negeri Sembilan untuk memilih kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Mohamad berkata, kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan Persekutuan membolehkan Negeri Sembilan mendapat lebih banyak peruntukan dan bantuan untuk disalurkan kepada rakyat.
Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata, Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri yang kecil dengan hasil pendapatan tahunan tidak sampai RM450 juta dengan lebih 50 peratus digunakan untuk membayar gaji penjawat awam.
“Kerajaan negeri perlu bersama kerajaan Persekutuan, kalau tidak amat susah untuk mentadbir negeri terutama negeri yang tidak besar seperti Negeri Sembilan.
“Untuk membangunkan negeri memerlukan banyak pendapatan, tetapi kerana pendapatan kita tidak banyak kita terpaksa bergantung kepada bantuan kerajaan Pusat,” katanya pada Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di tapak letak kereta, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Mohamad juga menasihatkan pengundi supaya tidak termakan dengan hasutan di media sosial termasuk TikTok kononnya keputusan PRN di enam negeri akan memberi kesan kepada kerajaan Persekutuan.
“Jangan ikut emosi di TikTok, kalau prestasi enam negeri (Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu) ini tidak baik kerajaan Pusat akan jatuh.
“Nak tanya sifir atau kira-kira apa yang mereka pakai? Keputusan PRN tidak akan menggugat atau kena mengena dengan kerajaan Pusat, kita (Kerajaan Perpaduan) ada 148 kerusi teguh bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Persekutuan telah ditubuhkan pada bulan November tahun lalu iaitu sebuah Kerajaan Perpaduan hasil gabungan Pakatan Harapan dan BN yang mendapat mandat atas perkenan Yang Di-Pertuan Agong. –UTUSAN.