Piala Malaysia: Negeri Sembilan raih tiket terakhir ke suku akhir - Utusan Malaysia

Piala Malaysia: Negeri Sembilan raih tiket terakhir ke suku akhir

PEMAIN pertahanan Kelantan United, Muhammad Azarul Nazarith Azhar (kiri) mengawal rapi pemain Negeri Sembilan, Hein Htet Aung dalam aksi perlawanan kedua Pusingan 16 Piala Malaysia yang menemukan kedua-dua pasukan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban malam ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiket terakhir ke pusingan suku akhir Piala Malaysia menjadi milik pasukan Negeri Sembilan FC yang mara selepas mengenepikan Kelantan United FC dengan agregat 5-2 malam ini.

Pada perlawanan kedua Pusingan 16 yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, perlawanan dimenangi Negeri Sembilan menerusi jaringan 4-2.

Pelawat bagaimanapun mengejutkan tuan rumah menerusi gol seawal minit ke-3 hasil jaringan Jose Elmer Porteria yang merembat deras dari luar kotak penalti menewaskan Mohammad Firdaus Irman Mohd. Fadhil di gawang Negeri Sembilan.

Namun skuad Jang tidak menunggu lama dan hasilnya tiga minit kemudian, gol penyamaan diperoleh menerusi penyerang, Anselmo Arruda Da Silva yang menyudahkan hantaran Mohamad Zamri Pin Ramli.

Negeri Sembilan terus mengasak dan kemudian berjaya mendapatkan gol kedua pada minit ke-18 menerusi R. Barathkumar hasil percubaan dari dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Kelantan United, Mohd. Shahril Sa’ari.

Minit ke-33, Hein Htet Aung menjadikan kedudukan 3-1 memihak tuan rumah dan keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

R. Barathkumar meraikan gol jaringannya dalam aksi Piala Malaysia di antara Negeri Sembilan dan Kelantan United di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban malam ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Pelawat melakukan beberapa pertukaran pemain bagi memberikan saingan dan hasilnya mereka merapatkan kedudukan menerusi gol kedua hasil sepakan penalti pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-65.

Sepakan penalti itu diberikan selepas sebelum itu ketua pasukan tuan rumah, Nasrullah Haniff Johan mengasari Ismahell Akinade di dalam kotak penalti.

Perlawanan kemudian terus berlangsung rancak dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan namun Negeri Sembilan yang berjaya menambah gol.

Ia menerusi gol sepakan penalti yang disudahkan penyerang import baharu mereka, Youssef Ezzejjari Lhasnaoui pada minit ke-86.

Tuan rumah terus mengasak namun sehingga tamat perlawanan keputusan kekal memihak mereka dengan jaringan 4-2.

Menanti Negeri Sembilan di peringkat suku akhir adalah pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mara selepas menewaskan Kelantan FC dengan agregat 15-1.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya