KOTA BHARU: Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan status mereka sebagai pasukan terkuat di negara ini apabila mudah ‘meratah’ Kelantan FC 5-1 pada aksi perlawanan pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, Bergson Da Silva memecah kebuntuan jaringan apabila meledakan jaringan peratama JDT pada minit ketujuh.
Lapan minit berselang, kerapuhan benteng pertahanan tuan rumah terus hukum apabila Heberty Fernandes menambah jaringan kedua JDT.
Fernandes terus memperagakan ketajaman penyudah apabila meledakan gol ketiga Harimau Selatan pada minit ke-24 sekali gus menambah koleksi jaringan peribadi keduanya pada perlawanan tersebut.
Tersentak dengan tiga jaringan awal pelawat, Kelantan FC cuba bangkit namun serangan yang dilakukan barisan The Red Warriors (TRW) mudah dipatahkan oleh benteng pertahan JDT menyaksikan keputusan 0-3 itu kekal hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, JDT terus menambah derita tuan rumah dengan gol keempat pada minit ke-50 menerusi tandukan Shahrul Mohd. Saad hasil sepakan penjuru rakan sepasukan Juan Muniz.
Muhammad Nazmi Faiz Mansor melengkapkan malam gemilang Harimau Selatan menerusi gol kelima pada minit ke-67.
Bagaimanapun, Kelantan FC memperoleh jaringan saguhati pada minit ke-86 menerusi Khala’if Naskam dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.-UTUSAN