SEREMBAN: Bantuan perkahwinan sebanyak RM500 kepada setiap seorang anak-anak Negeri Sembilan yang mendirikan rumah tangga kali pertama merupakan antara inisiatif di dalam Skim Sejahtera Rakyat yang terkandung dalam manifesto Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan.
Manifesto tersebut merupakan dokumen Aku Janji ditawarkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang akan dilaksanakan jika gabungan kedua-dua parti itu diberikan mandat untuk mentadbir kerajaan Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15, pada 12 Ogos ini.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, manifesto berkenaan berteraskan lima tekad bagi mencapai Negeri Maju, Ekonomi Mampan dan Rakyat Sejahtera.
Jelas beliau, selain Skim Sejahtera Rakyat yang diumumkan, terdapat 70 inisiatif di dalam 10 teras utama yang terkandung dalam manifesto berkenaan bagi ditawarkan kepada rakyat Negeri Sembilan.
Tambahnya, teras utama tersebut antaranya meliputi bidang ekonomi dan pelaburan, pendidikan dan modal insan, kesejahteraan rakyat, belia dan wanita serta teras khusus untuk Felda.
“Kami dapat lancarkan satu manifesto hari ini, jawatankuasa manifesto telah banyak kali bersidang untuk memastikan bahawa satu manifesto yang baik dapaat dilaksanakan dan Alhamdulillah kepemimpinan di peringkat PH dan BN telah bersetuju dengan cadangan tersebut
“Manifesto ini adalah untuk rakyat Negeri Sembilan, inilah janji kami, apa yang dijanjikan ini dapat dilaksanakan mengikut keperluan dan kebolehan kerajaan negeri dalam melaksanakan manifesto ini. Kami tak mahu berjanji yang tidak dapat dilaksanakan, daripada segi kewangan dan kemampuan, kami mampu lakukan dengan baik, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Manifesto Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, kepemimpinan peringkat negeri parti gabungan membentuk PH dan BN serta calon-calon yang bertanding mewakili kedua-dua parti tersebut di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Antara inisiatif lain yang terkandung manifesto Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan tersebut termasuklah menstruktur semula bandar-bandar kecil supaya lebih berdaya huni, mewujudkan program khas penguasaan Bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar Negeri Sembilan dan memberikan lesen percuma untuk tempoh lima tahun.
Turut ditawarkan, penyediaan 4,000 unit rumah harga mampu milik dalam masa lima tahun menerusi Program Perumahan 1 Keluarga 1 Rumah dan Perumahan Belia.
Menerusi Skim Sejahtera Rakyat, turut ditawarkan sumbangan keceriaan tahunan sebanyak RM200 kepada warga emas berusia 70 tahun ke atas dan ibu tunggal berpendapatan bawah RM2,000.
Sementara itu, Jalaluddin menyifatkan tawaran manifesto berkenaan merupakan sejarah baharu dalam Kerajaan Perpaduan sekali gus menepis dakwaan bahawa PH-BN tidak boleh mencapai kata sepakat bagi dalam hal ini.
“Pihak Perikatan Nasional (PN) kata BN dan PH tidak boleh mencapai kata putus sehingga tidak boleh keluarkan manifesto untuk kerajaan negeri, saya beritahu mereka bahawa pimpinan Kerajaan Perpaduan bukan ad hoc, tidak buat keputusan secara mendadak untuk kami perjudikan nasib pembangunan Negeri Sembilan.
“Kami bincang dan lihat di manakah kawasan dan tawaran sebaik mungkin untuk diberi kepada masyarakat bagi masa depan yang lebih baik untuk lima tahun akan datang. Ini isyarat jelas bahawa Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan tidak main-main dan bukan retorik,” katanya.-UTUSAN.