Pertuduhan cacat dan kabur, Muhyiddin bebas

Pertuduhan cacat dan kabur, Muhyiddin bebas

MUHYIDDIN Yassin tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan permohonan bagi membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini berpendirian, empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta yang dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah cacat dan kabur kerana tidak menyatakan cara kesalahan dilakukan ketika beliau berjawatan Perdana Menteri.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menyatakan, keempat-empat pertuduhan itu tidak mendedahkan butiran kesalahan iaitu suapan bagi sekutunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau menyatakan demikian ketika melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada keempat-empat pertuduhan selepas membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu untuk membatalkannya.

Ketika membacakan penghakiman ringkasnya, Hakim Muhammad Jamil berkata, keempat-empat pertuduhan tersebut kabur meskipun ia menyatakan masa, tempat kesalahan dan pihak yang memberikan suapan.

“Pihak pendakwaan gagal mengkhususkan bagaimana kesalahan salah guna kuasa telah dilakukan dan Muhyiddin. Pemohon tidak seharusnya dibiarkan membuat spekulasi bagaimana beliau telah salah guna kedudukan ketika menjadi Perdana Menteri.

“Ini mengakibatkan beliau tidak berupaya memberikan arahan wajar kepada peguam untuk menyediakan pembelaan atau menghantar representasi bagi pertimbangan pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula.

“Pemohon tidak boleh dipaksa untuk melalui prosiding jenayah tanpa menghiraukan kehendak Seksyen 154 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

“Untuk membenarkan perbicaraan diteruskan dengan pertuduhan yang melanggar undang-undang merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah secara terang-terangan,” ujar beliau ketika membacakan penghakiman ringkasnya dalam mahkamah yang penuh sesak dengan penyokong pemimpin politik itu.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusan, kedengaran laungan ‘Allahu Akbar’ oleh penyokong Muhyiddin yang hadir pada prosiding hari ini termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Hakim Muhammad Jamil selanjutnya menyatakan, Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibaca bersama Seksyen 23(2) akta sama merupakan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk satu suapan dan tertuduh membuat keputusan atau mengambil tindakan berhubung suatu perkara.

Beliau kemudian merujuk satu nas undang-undang dalam kes melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi pertuduhan sama di bawah Seksyen 23(1) yang mengandungi butir-butir cara kesalahan dilakukan iaitu telah terlibat dalam keputusan bagi pihak Kerajaan Malaysia berhubung suatu perkara.

“Empat pertuduhan bagi kesalahan sama di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM yang dihadapinya tidak mengandungi butir-butir cara kesalahan dilakukan sama ada membuat keputusan atau mengambil tindakan dan berhubung perkara apa.

“Memang benar empat pertuduhan tersebut menyatakan pemohon menggunakan kedudukan untuk satu suapan tetapi mengenai perkara apa? Adakah pemohon membuat keputusan atau mengambil tindakan dan berhubung perkara tertentu namun butir-butir ini tidak dinyatakan.

“Pertuduhan yang tidak mendedahkan satu kesalahan di bawah Seksyen 23(1) merupakan suatu salah laksana keadilan,” ujar beliau.

Menurut Hakim Muhammad Jamil, mahkamah tidak bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa cara atau bagaimana pemohon menggunakan kedudukan tidak perlu dinyatakan dalam pertuduhan tetapi boleh dibuktikan melalui keterangan ketika perbicaraan.

Ujar beliau, pihak pendakwaan tidak merujuk mahkamah kepada mana-mana kes otoriti untuk menyokong hujahan bahawa pertuduhan tidak perlu mengandungi butir-butir cara kesalahan dilakukan.

Sehubungan itu, hakim berkenaan berpuas hati bahawa kegagalan pihak pendakwaan menyatakan cara kesalahan dilakukan sama ada pemohon membuat keputusan atau mengambil tindakan dan berhubung perkara apa, tidak mematuhi keperluan mandatori di bawah Seksyen 154 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Pada prosiding hari ini, pasukan pembelaan diketuai oleh Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengetuai pasukan pendakwaan.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin, 76, didakwa di ibu negara atas enam pertuduhan iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu wang berjumlah RM200 juta dari Bukhary Equity Sdn. Bhd. bagi milik Bersatu.

Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM1 juta daripada syarikat Nepturis Sdn. Bhd. juga bagi milik parti itu.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19.5 juta daripada syarikat Mamfor. Sdn. Bhd. bagi milik partinya.

Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12 juta bagi milik partinya daripada Datuk Azman Yusoff.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) akta itu yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya