Persepsi, diskriminasi dan tanggapan negatif punca penagih sukar pulih - Utusan Malaysia

Persepsi, diskriminasi dan tanggapan negatif punca penagih sukar pulih

SUTEKNO Ahmad Belon (dua dari kiri) bersama Sabarudin Yeop Hamza (kiri) pada Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat AADK Tahun 2023 di Puspek Jelebu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Faktor persepsi, diskriminasi dan tanggapan negatif masyarakat terhadap bekas penagih dilihat menjadi punca penagih dadah sukar dipulihkan sekali gus berlakunya penagihan semula.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, ini kerana,  mereka melihat seseorang penagih itu sebagai individu yang tidak berguna lagi. 

“Walaupun banyak faktor lain, namun hari ini saya lihat faktor ini menjadi penyumbang terbesar berlakunya kes-kes penagihan berulang.

“Meskipun mereka telah mengikut program rawatan dan Ppemulihan sama ada dalam institusi (RPDI) atau komuniti (RPDK) di AADK, tetapi apabila mereka tamat, mereka sukar mendapat tempat dalam masyarakat mahupun keluarga. 

“Mereka (penagih) terus disisihkan, dipandang serong dan lebih malang lagi dilemparkan kata-kata yang tidak sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat AADK Tahun 2023 di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Jelebu hari ini. 

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Chan Hong Jin dan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan, Sabarudin Yeop Hamza.

Dalam pada itu, Sutekno berkata, stigma negatif yang dilemparkan terhadap penagih jelas memburukkan lagi keadaan.

“Ini sebenarnya menjadi penyumbang seterusnya mempengaruhi keputusan individu yang telah menjalani rawatan dan pemulihan kembali menagih dadah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sistem sokongan lain terutamanya keluarga dan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan mereka kekal dalam kepulihan.

“Bantulah mereka untuk mencapai kepulihan kelak dengan menukar persepsi negatif yang selama ini menjajah fikirkan kita semua. 

“Bebaskan atau merdekakan fikirkan dan tanggapan kita semua dengan menzahirkan sokongan moral kepada mereka yang memerlukan tempat untuk terus berjuang mendapatkan kepulihan sepanjang hayat. 

“Saya percaya, dengan sokongan ini, ramai klien-klien AADK boleh menjalani kehidupan yang sejahtera dan bahagian bersama keluarga tersayang,” ujarnya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya